Zina, Lelaki Yang Dipersalahkan?

Posted: 21 September 2012 in Isu Isu Semasa

Apakah maksud zina? Zina adalah satu persetubuhan yang dilakukan tanpa ikatan yang sah antara lelaki dan wanita. Perkara yang menjerumuskan ke arah hubungan tanpa nikah itu juga disebut zina, tetapi dalam konteks yang kecil. Bermaksud perbuatan itu hanyalah satu perkara yang mendorong untuk melakukan hubungan seksual tanpa nikah. Seperti memandang dengan nafsu pada yang telah diharamkan, maka itu adalah zina kecil pada pandangan.

Siapa yang dipersalahkan dalam masalah zina yang berlaku? Kita melihat pasangan yang  kononnya terlanjur saling tuding menuding menyalahkan pasangan masing-masing, tetapi adakah diri mereka sendiri sedar akan kesalahan yang mereka lakukan?

Kita boleh bersetuju bermulanya dari lelaki, tetapi kita tidak boleh menafikan sepenuhnya perempuan tidak memualakan apa-apa perkara berkaitan zina. Kita bersetuju dalam permasalahan rogol, wanita itu dianiaya, tetapi bagaimana pula jika masalah hubungan antara suka sama suka yang menjerumuskan diri dalam perzinaan?

Tidak kira lelaki atapun wanita, semuanya wujud satu perasaan yang bergelora dalam diri yang dikenali sebagai nafsu. Itulah yang mempengaruhi tindakan setiap individu. Islam menggariskan panduan supaya menundukkan nafsu ini, maka zina ini tidak berlaku.

Tundukkan pandangan, panduan bagi menundukkan nafsu, seperti mana dalam surah An-Nur pada ayat 30 dan 31 yang bermaksud

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Seterusnya pada ayat 31

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.

Adakah perintah ALLAH ini pada lelaki sahaja? Tidak, tetapi kepada hamba-Nya lelaki dan juga wanita. Tetapi terlebih dahulu ditujukan kepada lelaki supaya menundukkan pandangan, kerana lelaki ini lebih terdedah kepada perkara yang menarik pandangannya, dan dengan sifat lelaki yang lebih teruja untuk memerhatikan perkara disekeliling.

Adakah ditujukan kepada lelaki dahulu bermaksud mulanya dari lelaki? Tidak. Kerana ayat seterusnya menerangkan supaya wabita juga menundukkan pandangan, dan juga memelihara segala apa yang haram ditunjukkan kepada yang bukan sah bagi wanita tersebut. Bermaksud tugas wanita adalah memelihara segala di tubuhnya, rambutnya, badannya, tangan serta kakinya serta segala di tubuhnya, untuk mengelak berlakunya zina.

Senarionya senang, jika seorang lelaki memandang pada seorang wanita yang menampakkan punggungnya, dengan menampakkan dadanya dengan menampakkan rambutnya sedangkan wanita tersebut tidak memandang pada lelaki tersebut, lalu dari pandangan itu mendorong kepada hubungan yang membawa pada zina, siapa yang harus dipersalahkan? Lelaki yang tidak menjaga pandangan ataupun wanita yang tidak menjaga perhiasan (Aurat) di tubuhnya?

Kenapa pandangan ditundukkan? Apa kaitan dengan zina? Perhatikan betapa berkaitnya pandangan dengan nafsu, kerana itu ALLAH menyuruh manusia menundukkan pandangan, kerana ALLAH adalah arkitek manusia, dan ALLAH tahu apa kaitannya disetiap tubuh kita. Pandangan itu berhubung dengan kemaluan (Nafsu), dengan pandangan pada yang merangsang, nafsu akan terpengaruh dan membawa kepada perlakuan zina. Inilah sebabnya pandangan yang dapat ditundukkan, maka kemaluan akan terjaga dari perkara zina.

Kesimpulannya, lelaki dan wanita semuanya bertanggungjawab atas diri dalam mencegah diri dari perzinaan yang merupakan dosa besar di sisi Islam. Tidak lelaki itu dipersalahkan sepenuhnya, tetapi semua akan dinilai atas perbuatan mereka, pada pandangan mereka yang membawa kepada masalah ini.

Leave a comment