Agama dan Anak , Anak Aset Ke Syurga

Posted: 14 May 2012 in Hikmah Dan Renungan

ASSALAMUALAIKUM

“Wahai ibu bapa, andaikata lah agama itu nampak kecil pada anak-anak, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa lah menjadikan ia nampak besar”

-PETIKAN KATA-KATA USTAZ DON DANIYAL, PERSONALITI TV AL-HIJRAH-

Mungkin tak  asing lagi ucapan tersebut dalam kalangan kita, kerana semua mengetahui, bahawa ibu bapa lah bertanggungjawab dalam membentuk agama anak-anak. Tidak asing juga peribahasa andai melentur buluh biarlah mula dari rebungnya. Itulah sinonimnya peribahasa itu dengan tanggungjawab menyemai nilai-nilai agama dalam diri anak-anak.

Anak-anak dari mula dilahirkan, sudah tergalas di bahu kedua ibu bapa tanggungjawab menyemai nilai agama dalam diri anak-anak. Tangisan pertama bayi di dunia, menjejaknya kaki membuka mata bayi didunia, apa yang perlu ibu dan bapa lakukan? Sewaktu bayi sudah dilahirkan, si bapa akan azankan di telinga bayi tersebut, itulah agama. Kerana dalam azan itu lah kita bersaksi tiada Tuhan selain ALLAH, Muhammad itu Rasul ALLAH, itu jugalah cabang iman yang paling utama.

Dari mula bayi dilahirkan itu sudah didengarkan dengan azan. Azan itu sebahagian dari apa? Itu juga adalah agama. Dalam azan itu ada maksudnya sendiri, kita menyatakan kebesaran ALLAH, bersaksi siapa Tuhan siapa Rasul, maka itu lah agama, justeru, itu lah tanggungjawab ibu bapa sebagai permulaan menerapkan nilai agama pada diri anak-anak.

Sebelum menanti kelahiran anak ke dunia ini juga, nilai agama sudah perlu diterapkan. Kerana itulah anak-anak dikurniakan pendengaran sewaktu didalam kandungan lagi. Kerana itu lah disunatkan membaca surah-surah semasa dalam waktu kehamilan, dan katakanlah yang baik-baik untuk anakmu didalam kandungan isterimu, kerana dia mendengar. Kata-kata dan ucapan yang baik itu apa? Itulah agama, agama yang mengajarkan supaya berkata-kata yang baik-baik.

Anak-anak melangkah dewasa, maka siapakah yang mencorakkan nilai agama dari kecil lagi anak-anak itu? Sudah tentu ibu bapa. Andaikata hamparan kain putih dihampar, bagaimanakah untuk mendapatkan satu corak yang cantik? Itu lah tugasnya orang yang bakal mencorakkan kain putih itu. Begitu juga jiwa anak-anak, andai agama lah yang dicorakkan dalam sanubari mereka, maka agama lah nanti di hati mereka.

Ibu bapa yang baik, ialah ibu bapa yang menekankan agama sebagai prinsip hidup keluarganya, termasuklah anak-anak. Ibu bapa yang baik, itulah ibu bapa yang mengambil kisah akan hal-hal agama anak-anaknya seperti solat, puasa, menuntut ilmu, bergaul dna bersosial serta segala apa pensyariatan kepada setiap individu bergelar muslim. Jadi, ibu bapa yang baik itulah ibu bapa yang boleh membimbing keluarga mengikut landasan agama.

Wahai ibu bapa, bolehkah kamu menanam ilmu agama pada anak-anak andai diri kamu sendiri jahil tentang ilmu agama? Wahai ibu bapa, adakah anak-anak kamu itu hanya zuriat kamu semata-mata tanpa ada amanah dari ALLAH terhadap anak-anak itu? Wahai ibu bapa, nilailah dan tanyalah diri, adakah kamu ibu bapa yang baik yang mampu menyuburkan nilai agama dalam diri anak-anak, maka anak-anak itu menjadi harta tidak ternilai kamu di dunia dan di akhirat.

“Apabila mati insan itu, maka tiada manfaat baginya melainkan 3 perkara. Sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang diajarkan, dan anak yang soleh, yang mendoakan kedua orang tuanya”

Kita selalu dengar, anak itu sebagai manfaat bila orang telah meninggal. Tapi anak yang bagaimana? Jarang yang menceritakan perkara ini, dan jarang yang ambil tahu perkara ini. Maksud hadith di atas khusus kepada anak yang soleh. Macamana soleh itu membawa manfaat? Kerana anak yang soleh itu mendo’akan kesejahteraan kedua orang tuanya selepas mereka tiada.

Kita tanya diri, bila kita dah tiada, anak itukah nanti yang mendo’akan kita? Jangan kisah lagi berapa orang anak kita ada, tapi tanyalah adakah anak yang akan mendo’akan kita nanti. Wahai ibu bapa, wahai saudara-saudaraku, andaikata lah, tiba saat masa kita terbaring di atas katil, tanpa upaya dan uzur yang teramat, adakah anak itu yang akan bersama-sama kita, adakah anak-anak itu yang akan menjaga kita, sebagaimana seorang ibu dan ayah menjaga anak semasa kecil? Nilailah yang itu dahulu, nilailah sebaik-baiknya yang itu dahulu, sebelum menilai apakah nanti sembangan anak-anak setelah kita tiada.

Wahai ibu bapa, wahai saudara-saudaraku, semua orang mahukan penghargaan, andai kata lah hari ini kita mati sebagai ibu atau bapa, siapakah yang nanti akan memberi penghargaan pada kita, adakah anak-anak kita? Saya tidak maksudkan penghargaan sebagai mencium dahi dan pipi kita sebelum ke lahad, tetapi saya maksudkan siapa yang akan menguruskan kita sebagai jenazah nanti sebelum kita dimasukkan ke lahad? Adakah anak-anak kita?

Sejuknya hati andai yang menyapukan air ke seluruh jasad ini adalah anak-anak kita, tenangnya andai satu hari nanti yang memakaikan kafan di tubuh kita itu anak-anak kita, indahnya andai yang mendoakan dalam solat itu anak-anak kita, maka ingatlah, sungguh itu terletak pada satu pegangan iaitu agama. Maka saudara-saudaraku, binalah satu keluarga atas dasar agama, coraklah anak-anak atas landasan agama, kerana anak-anak beragama itu lah manfaat bagi kita selepas kita tiada. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s