Archive for the ‘Adab Dan Hukum’ Category

Assalamualaikum Warahmatullah..

Dalam artikel sebelum ini sudah diceritakan tentang adab menantu terhadap mertua. Bagi si isteri, ketaatan itu wajib terhadap suami, dan kehormatan terhadap mertua juga perlu bagi menjamin hubungan keluarga yang baik. Di sini ramaiĀ  yang mengemukakan persoalan, adakah apa yang perlu adalah kehormatan terhadap mertua sahaja dan tidak memandang kehormatan yang sama terhadap menantu? Menantu yang tidak mendengar apa cadangan atau kata mertua dianggap tidak hormat pada mertua, tapi hormatkah mertua terhadap menantu dengan pendekatan hujah pendapat dan nasihat yang diberi kepada menantu?

Jika dibaca dalam risalah serta akhbar, banyak cerita tentang menantu memukul mertua, mertua buang menantu, mertua menzalimi menantu, menantu memeras mertua dan sebagainya. Adakah disini bermaksud semuanya salah menantu dan mertua itu betul semua apa yang dilakukan?

Hubungan kedua keluarga lelaki dan perempuan dimulakan dengan perkahwinan, yang menyatukan kedua-dua keluarga menjadi sebuah keluarga besar. Kita akui kadang kala ujudnya pergaduhan kecil dalam hubungan rumahtangga, dan mungkin ibu bapa atau mertua akan menjadi orang tengah dalam menjernihkan keadaan, tetapi kenakah cara dan pendekatannya? Kadang kala hubungan yang dikotori dengan pergaduhan yang kecil akan menjadi besar kerana sikap ibu bapa yang terlalu ingin mempertahankan anak mereka sendiri dan menyalahkan menantunya. Dalam kebanyakan situasi si isteri akan menjadi mangsa apabila dipersalahkan kerana campur tangan ibu mertua.

Sewajarnya, sikap ibu bapa terhadap menantu dan anak sendiri mesti adil. Dengan meletakkan apa yang perlu pada tempatnya. Ibu bapa sepatutnya faham apa peranan anak lelaki sebagai ketua keluarga bila mendirikan rumahtangga dengan menantu yang dipilih oleh anak mereka, dan meletakkan anak lelaki mereka dalam menentukan keputusan dalam urusan rumah tangga mereka.

Adakah bermaksud mertua tidak boleh masuk campur dalam urusan rumah tangga? Bukan begitu kerana ibu bapa sebagai orang yang sudah lama melayari alam rumah tangga semestinya lebih tahu apa perkara dalam menyelesaikan krisis rumah tangga, dan memberi pandangan dan pendapat itu perlu tetapi tidak lah sehingga memaksa anak serta menantu menerima secara mutlak apa pandangan dan pendapat yang diberi. Sebaliknya, berilah hak bagi anak dan menantu menilai pandangan serta pendapat yang diberi.

Nilai semula apa yang diperkatakan oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz,

“Dalam Islam, apabila anak sudah berkahwin, ibu bapa tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga anak-anak kerana dikhuatiri mendatangkan keburukan”

“Perlu diingat mentua tidak boleh masuk campur urusan anak mereka melainkan untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan”

Ibu dan bapa seharusnya memahami tanggungjawab anak dalam menguruskan rumahtangga masing-masing. Kerana apabila selesainya ijab dan kabul maka tanggungjawab rumahtangga itu terpikul atas ketua rumahtangga itu bukannya pada ibu dan bapa. Dan anak lelaki yang akan dipersoal diakhirat atas bagaimana dia menguruskan rumahtangganya. Jadi seharusnya ruang kebebasan dibuka pada anak-anak yang mendirikan rumahtangga dalam menentukan hala kehidupan, dan ibu bapa sebagai semangat serta penasihat kepada mereka.

Derhaka kepada mertua, tepatkah istilah itu diucapkan oleh ibu bapa terhadap menantu? Jika derhaka itu merujuk pada tidak menunaikan hak, maka sudah tentu ada juga istilah mertua derhaka andai hak menantu tidak ditunaikan. Itu keadilan ditetapkan oleh agama. Soal perasaan menantu adalah perkara yang perlu dijaga, kerana menantu adalah manusia dan setiap hubungan sesama manusia akan disoal. Jika menantu tersinggung kerana kata-kata mertua maka berdosalah mertua kerana tidak menjaga hubungan baik dengan menantu. Bukanlah menjadi mertua itu bermaksud hak tidak perlu ditunaikan terhadap menantu, bukanlah bermaksud boleh mengaibkan menantu, bukanlah bermaksud boleh menghina menantu, kerana hubungan itu akan disoal oleh ALLAH.

Apa yang dapat disimpulkan, ibu bapa hendaklah berhikmah dalam memantau rumah tangga anak dan menantu, dan jadilah pembimbing mereka dalam rumahtangga yang baru dibina. Jadilah penasihat dan berilah ruang untuk mereka memilih jalan kehidupan dalam rumahtangga mereka, dan ajarlah mereka akan maksud tanggungjawab.