Taharah (Bersuci):Pembahagian Najis, Jenis-Jenis Air

Posted: 28 November 2010 in Asas Fardhu Ain

Islam menuntut supaya setiap penganutnya menjaga kesucian dan kebersihan jasmani dan rohani. Kesucian dan kebersihan adalah asas utama kesempurnaan ibadah seseorang. Bagi melaksanakan tuntutan tersebut, Islam telah menentukan garis panduan untuk bersuci. Umat Islam hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri sama ada anggota badan, fikiran, makanan, tempat tinggal dan alam sekitar bersesuaian dengan Islam yang merupakan agama yang suci. Kesucian dan kebersihan di dalam ibadah hendaklah dijelmakan dalam aktiviti harian kita.Allah S.W.T amat mengasihi orang yang sentiasa mejaga kesucian dan kebersihan bersesuaian dengan firman-Nya dalam Al-Quran surah Al-Baqarah: 222

Bab 1: Pengertian Bersuci

Bersuci dari segi bahasa ialah ‘membersihkan sesuatu daripada kekotoran’ manakala dari segi istilah, ia membawa maksud ‘membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada hadas dan najis’. Bersuci dari hadas, najis dan kekotoran hukumnya wajib dan menjadi syarat sah sesuatu ibadah seperti firman Allah S.W.T dalam Al-Quran: Al-Maidah:6

Ahli fikh bersependapat bahawa harus bersuci dengan menggunakan air mutlak sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:Al-Furqan :48

Selain itu, harus menggunakan kertas atau batu ketika beristinja’ dan tanah atau debu tanah sebagai ganti air bagi mengharuskan solat yang dikenali sebagai tayammum. Jelasnya, alat–alat untuk bersuci itu ialah:

  • Air mutlaq, iaitu air semata-mata tanpa disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. Air mutlaq ini terbahagi kepada beberapa bahagian:
    • Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu air hujan, air salji yang menjadi cair dan air embun.
    • Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi kepada empat, iaitu air yang terbit daripada mata air, air perigi, air sungai dan air laut.
  • Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. Firman Allah:An-Nisa’:43

Bab 2: Pembahagian Jenis Air

Air dari segi hukum terbahagi kepada tiga jenis, Iaitu:

1. Air yang suci dan boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Mutlaq:

Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut . Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya, seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan”.

Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.

b) Air Musyammas:

Air musyammas ialah air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat ke atas besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuh badan menyebabkan penyakit-penyakit kulit dan sebagainya. Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :-

“Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak.”

(Riwayat Baihaqi)

c) Air Musta’amal:

Air Musta’mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

d) Air Muqayyad:

Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada warna, rasa atau bau yang menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.

Kedua-dua jenis air ini iaitu air musta’mal dan air muqayyad ialah air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain.

e) Air Mutannajis

Air mutannajis ialah air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua iaitu:

K  Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.

K  Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak. Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-

    1. Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
    2. Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
    3. Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

 

Bab 3 : Bersugi (Bersiwak)

Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi. Bersugi hukumnya adalah sunat dan masanya ialah bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang, ketika hendak membaca Al-Quran dan ketika berubah bau mulut. Walaupun demikian, dihukumkan makruh bersugi apabila telah tergelincir matahari ( masuk waktu Zohor ) bagi orang yang berpuasa, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah s.w.t. itu lebih harum daripada kasturi“

( Riwayat Muslim )

Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu arak ( siwak ) , rotan, manggar kelapa dan lain-lain. Rasulullah pernah bersabda:

Dari Aisyah r.a.h. “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya“.

( Riwayat Baihaqi )

Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh
mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “.

( Riwayat Ahmad )

Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan sebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.

Kelebihan bersugi ialah :

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang dengan tidak bersugi “.

(Riwayat Muslim)

2) Dapat menambahkan akal.

3) Dapat mencerahkan mata.

4) Melambatkan tumbuh uban .

5) Dapat menggandakan pahala.

6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal .

Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntuti hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari. Di antara sebab-sebab sembahyang orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk sembahyangnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa sembahyang dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar .

Bab 4: Istinja’

Istinja’ ialah perbuatan membersihkan kemaluan selepas membuang air besar atau air kecil dengan menggunakan alat-alat tertentu. Hukum istinja adalah wajib seperti mana sabda Rasulullah S.A.W :

“Daripada Anas (r.a) berkata, sabda Rasulullah S.A.W: Bersihkan dirimu selepas membuang air kecil. Sesungguhnya ramai yang diazab di kubur kerananya”

Hadith di atas memberi peringatan kepada kita bahawa menjaga kebersihan qubul atau dubur adalah suatu kewajipan. Ia tidak boleh dipandang ringan. Setiap kali selepas menunaikan hajat, kita dikehendaki beristinja’ dengan cara yang betul. Barang siapa yang mengambil jalan mudah dalam hal ini, mereka akan menerima balasan azab di akhirat.

Alat Beristinja’

Alat yang digunakan untuk beristinja’ ialah air mutlak ataupun benda-benda yang kesat seperti batu, kertas tisu, daun-daun kering dan kayu. Alat-alat yang digunakan mestilah suci iaitu bersih dan kering. Sekiranya alat istinja’ tersebut basah, ia tidak boleh digunakan untuk beristinja’. Walaupun demikian, terdapat beberapa bahan yang haram digunakan untuk beristinja’ seperti:

a)    kertas atau bahan yang tertulis di atasnya ayat-ayat Al-Quran atau hadith Nabi atau nama-nama Allah atau rasul-rasulnya. Ini kerana ayat-ayat Al-Quran, nama-nama Alah dan sebagainya adalah benda yang wajib dihormati dan dijaga kesuciannya.

b)    bahan makanan seperti roti, biskut atau buah-buahan. Bahan-bahan ini merupakan makanan kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah. Maka wajarlah ia tidak digunakan sebagai alat untuk beristinja’.

c)    benda-benda licin seperti plastik. Ini bertujuan untuk menjamin kemaluan bersih daripada najis. Sekiranya kita menggunakan benda-benda yang tidak kesat, dikhuatiri najis tersebut tidak dapat dibersihkan dengan sepenuhnya.

d)    benda-benda yang tajam seperti kaca dan buluh. Benda-benda yang tajam ini boleh mendatangkan mudharat kepada kita. Maka penggunaan benda-benda yang tajam ini dilarang sama sekali.

 

Bab 5: Pengertian Najis

 

Najis dari segi bahasa ialah benda-benda kotor dan jijik manakala dari segi istilah ialah kotoran yang menyebabkan tidak sah solat dan ibadat-ibadat yang lain. Oleh yang demekian, kita hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan kesucian badan, makanan dan tempat dari segala jenis najis. Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:

a)    najis mukhaffah (najis ringan)

Najis ringan ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur di    bawah umur 2 tahun yang minum susu ibunya sahaja.

b)    najis mutawassitah (najis pertengahan)

Najis pertengahan ialah semua jenis najis selain daripada najis ringan       dan najis berat. Contohnya ialah darah, nanah, bangkai dan            sebagainya.

c)    najis mughallazah (najis berat)

Najis berat ialah anjing, babi serta keturunan dari kedua-duanya       ataupun salah satu daripadanya.

2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadas kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadas besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:

K  Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

K  Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.

K  Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.

K  Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.

Cara Menyucikan Najis

Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak. Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:

1. Najis mughallazah (berat)

Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa). Ini bersesuaian dangan sabda Rasulullah :

“Daripada Abu Hurairah (R.A) berkata: bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu membersihkan bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh sebanyak 7 kali dan basuhan pertama dengan air yang bercampur tanah

(Riwayat Muslim)

2. Najis mutawassitah (pertengahan)

Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

3. Najis mukhaffafah (ringan)

Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

Untuk menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

 

Bab 6: Hadath

Pengertian Hadath

Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku. Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah. Ia terbahagi kepada dua iaitu hadath kecil dan hadath besar. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’ seperti keluar sesuatu dari dubur atau qubul, tersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram manakala hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi seperti bersetubuh, keluar darah haid dan nifas dan melahirkan anak.

Sebab Hadath Dan Kesannya

Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

Hadath besar pula disebabkan oleh berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak. Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

§  Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

§  Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

§  Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

§  Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.

§  Beri‘tikaf di dalam masjid.

Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

§  Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.

§  Berpuasa.

§  Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.

§  Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

§  Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.

§  Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.

§  Bersetubuh.

§  Talaq.

Cara menghilangkan hadath

Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’ sama ada disebabkan ole ketiadaan air ataupun sakit. Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi wajib atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi wajib.

 

Bab 7 : Wudhu’

Pengertian Wudhu’,

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

Hukum Wudhu’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:

1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.

2. Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.

Fardhu Wudhu’

1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

 

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.

3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.

5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.

6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.

Syarat-Syarat Wudhu’

Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.

Syarat Wajib Wudhu’

§  Islam.

§  Baligh.

§  Berakal.

§  Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

§  Berlakunya hadath.

§  Suci daripada haidh dan nifas.

§  Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.

Syarat Sah Wudhu’

§  Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.

§  Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.

§  Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.

§  Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.

Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:

§  Islam.

§  Mumayyiz.

§  Suci daripada haidh dan nifas.

§  Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.

§  Mengetahui kefardhuan wudhu’.

§  Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.

§  Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.

§  Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.

§  Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.

§  Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.

§  Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.

§  Muwalat, iaitu berturutan.

Sunat Wudhu’

Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:

§  Membaca “basmalah” iaitu lafaz

§  Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.

§  Berkumur-kumur.

§  Memasukkan air ke dalam hidung.

§  Menyapu seluruh kepala.

§  Menyapu dua telinga.

§  Menyelati janggut yang tebal.

§  Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.

§  Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.

§  Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.

§  Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.

§  Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.

§  Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.

§  Bersugi dengan sesuatu yang kesat.

§  Menghadap qiblat.

§  Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:

 

Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”

Perkara Yang Membatalkan Wudhu’

§  Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

§  Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

§  Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

§  Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

§  Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

§  Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

Hikmah Wudhu’

Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.

 

Bab 8 : Tayammum

PENGERTIAN TAYAMMUM

Tayammum ialah menyampaikan atau menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua tangan dengan syarat yang tertentu. Tayammum dilakukan bagi menggantikan wudhu’ atau mandi wajib (junub, haidh dan nifas), ketika ketiadaan air atau uzur menggunakan air, dan ia adalah suatu rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh syara‘ kepada manusia. Disyari‘atkan tayammum berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:

 

 

 

 

 

 

 

Maksudnya:
“Dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.”

(Surah Al-Ma’idah, 5:6)

Semua ibadah atau amalan ta‘at yang perlu kepada bersuci (taharah) seperti sembahyang, menyentuh mushaf, membaca Al-Qur’an, sujud tilawah dan beri‘tikaf di dalam masjid adalah boleh bersuci dengan tayammum sebagai ganti wudhu’ dan mandi, kerana amalan yang diharuskan taharah dengan air adalah diharuskan juga dengan tayammum.

Sebab Yang Membolehkan Tayammum

§  Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.

§  Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.

§  Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.

Syarat Tayammum

1. Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal, tidak bercampur benda lain.

2. Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah.

3. Hilang najis terlebih dahulu.

4. Masuk waktu sembahyang.

5. Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu.

6. Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air.

Anggota Tayammum

1. Muka.

2. Dua belah tangan hingga siku.

Rukun Tayammum

1. Berniat ketika menyapu debu tanah ke muka. Niat tayammum adalah seperti berikut:

 

Maksudnya:
“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta`ala.”

2. Menyapu muka.

3. Menyapu kedua-dua belah tangan.

4. Tertib.

Sunat Tayammum

§  Membaca basmalah iaitu lafaz

§  Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri dan memulakan bahagian atas dari bahagian bawah ketika menyapu muka.

§  Berturut-turut di antara menyapu muka dan menyapu tangan.

Perkara Yang Membatalkan Tayammum

§  Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

§  Melihat air atau mendapat air sekiranya bertayammum kerana ketiadaan air.

§  Murtad iaitu keluar dari agama Islam

 

Bab 9: Mandi

PENGERTIAN MANDI

Mandi dari segi bahasa bermaksud mengalirkan air ke seluruh badan manakala dari segi syara‘, mandi bermaksud mengalirkan air ke seluruh badan dengan niat yang tertentu.

Perkara Yang Mewajibkan Mandi

§  Bertemu dua khitan iaitu apabila masuknya hasyafah zakar atau sekadar yang ada bagi zakar yang kudung ke dalam farj perempuan yang masih hidup dengan sempurna walaupun tidak keluar mani.

§  Keluar mani walaupun sedikit dengan sengaja atau pun bermimpi.

§  Keluar haidh, iaitu darah semulajadi yang keluar dari pangkal rahim ketika wanita dalam keadaan sihat pada waktu yang tertentu.

§  Melahirkan anak atau bersalin (wiladah).

§  Keluar nifas, iaitu darah yang keluar selepas bersalin.

§  Mati, kecuali mati syahid.

Fardu Mandi

1. Berniat pada permulaan kena air pada badan.

Bagi orang yang berjunub niatnya ialah mengangkat janabah atau hadath besar. Niatnya seperti berikut:

 

Maksudnya:
“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Ta`ala”.

atau

 

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath besar kerana Allah Ta`ala”.

Bagi orang yang datang haidh atau nifas niatnya ialah mengangkat hadath haidh atau nifas. Niatnya adalah seperti berikut:

 

Maksudnya:
“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Ta`ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Ta`ala”.

2. Menghilangkan najis yang terdapat pada tubuh badan.

3. Meratakan air ke seluruh badan terutama kulit, rambut dan bulu.

Perkara Sunat Semasa Mandi

Terdapat banyak perkara sunat semasa mandi, antaranya:

§  Membaca “basmalah” iaitu lafaz

§  Berwudhu’ sebelum mandi.

§  Membasuh dua tapak tangan.

§  Menggosok seluruh bahagian badan.

§  Mendahulukan anggota tubuh yang kanan daripada yang kiri.

§  Mengulangi membasuh anggota tubuh sebanyak tiga kali.

§  Berturut-turut iaitu tidak berlaku perceraian yang lama di antara membasuh sesuatu anggota dengan anggota yang lain.

Mandi-Mandi Sunat

Mandi-mandi yang disunatkan adalah seperti berikut:

§  Mandi hari Juma‘at bagi orang yang hendak pergi sembahyang Juma‘at. Waktunya dari naik fajar sadiq.

§  Mandi hari raya fitrah dan hari raya adhha. Waktunya adalah mulai dari tengah malam pada hari raya itu.

§  Mandi kerana minta hujan (istisqa’).

§  Mandi kerana gerhana bulan.

§  Mandi kerana gerhana matahari.

§  Mandi kerana memandikan mayat.

§  Mandi kerana masuk agama Islam.

§  Mandi orang gila selepas pulih ingatannya.

§  Mandi orang yang pitam selepas sedar dari pitamnya.

§  Mandi ketika hendak ihram.

§  Mandi kerana masuk Makkah.

§  Mandi kerana wuquf di ‘Arafah.

§  Mandi kerana bermalam di Muzdalifah.

§  Mandi kerana melontar jumrah-jumrah yang tiga di Mina.

§  Mandi kerana tawaf iaitu tawaf qudum, tawaf ifadhah dan tawaf wida‘.

§  Mandi kerana sa‘i.

§  Mandi kerana masuk ke Madinah.

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s